Friday, April 16, 2010

Perutusan sempena Sper-KU '10

Dunia di tangan, Akhirat di hati

KATA ALUAN PENYELARAS NISA’ (PADANG SERAI)





Yang pertama dan buat selamanya, ucapan syukur dipersembahkan kepada ALLAH SWT atas keizinanNYA menjadikan program Seminar Persediaan ke Universiti (Sper-KU) satu realiti. Tahniah kepada para peserta atas kejayaan adik-adik semua hadir ke Sper-KU yang julung kali diadakan ini. Kehadiran adik-adik semua merupakan satu petanda bahawa adik-adik merupakan golongan bakal siswa dan siswi yang peka terhadap realiti satu lagi dunia baru yang bakal ditempuh.

Adik-adik yang dikasihi sekalian,

Kehidupan di alam kampus adalah terlalu abstrak dan subjektif. Pelbagai cabaran bakal adik-adik tempuhi ketika melaluinya. Bukan sahaja setakat kesibukan kuliah, tutorial, praktikum, kuiz, ujian, tugasan dan peperiksaan malah masalah persahabatan dan cinta lazimnya turut sama mewarnai kehidupan adik-adik di kampus. Berwaspadalah agar adik-adik tidak keliru tatkala menilai antara cita-cita dan cinta. Berhati-hatilah dalam memilih kawan kerana alam kampus bukan hanya setahun dua, malah lebih panjang lagi jalannya sehinggalah adik-adik menggenggam ijazah yang diimpikan. Pilihlah sahabat yang "apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati”. Bak kata pepatah arab; “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.” Begitulah Islam mendidik seluruh umat manusia dalam mencari sahabat yang baik.

Adik-adik bakal mahasiswa dan mahasiswi sekalian,

Selain pelajaran, ambillah tempat dalam program bermanfaat di kampus agar bila adik-adik keluar dari universiti sebagai graduan, adik-adik bukan hanya keluar sebagai seorang guru, doktor, peguam, jurutera, dll semata, tetapi sebagai ahli masyarakat yang peka terhadap permasalahan masyarakat sekeliling. Timbalah sebanyak mungkin pengalaman kehidupan sepanjang adik-adik bergelar mahasiswa/i. Kerana universiti bukan sekadar kilang yg menghasilkan para professional. Tetapi universiti merupakan tempat adik-adik mendidik kematangan, menyemai pendirian dan mengasuh keimanan. Belajarlah mengenal kehidupan semasa adik-adik berada di alam kampus nanti. Bergaullah dgn semua bangsa dan agama, pelajari adat resam mereka. Tunjukkan akhlak siswa/i muslim yang cemerlang. Pasti adik-adik akan tersenyum puas tatkala segulung ijazah telah tergenggam di tangan kerana adik-adik telah mendapat lebih daripada itu.

Akhirulqalam, terima kasih kepada Unit Remaja PAKSI dan Kelab AMREC SIRIM atas huluran tangan untuk sama-sama menganjurkan program yang bakal menjadi titik tolak hala tuju bakal mahasiswa dan mahasiswi di menara gading nanti. Semoga selepas ini kerjasama yang terjalin akan bertambah kukuh lagi. Untuk adik-adik bakal siswa dan siswi, sambutlah salam lambaian menara gading dari kami, warga Nisa’ Padang Serai.

Kita laksanakan impian bersama

Azreena Hj Mastor
Ketua NISA‘ (Padang Serai)

No comments:

Post a Comment