Wednesday, January 8, 2014

Hikmah Kembara



Dulu saya seorang yang sangat skeptikal terhadap negara Indonesia. Faktor terbesar adalah kisah2 negatif minoriti rakyatnya di negara kita. Kali pertama menjejak kaki di Indonesia (Jawa Timur, Mac 2013), ianya cukup merubah pandangan saya terhadap Indonesia.

Ternyata, mengembara sebenarnya bukan tempat untuk kita menunjuk yang kita ini berwang (I'm a typical cheapskate traveler!), bukan untuk mengundang cemburu org yang melihat, bukan pentas utk menjadi riak!

Sebaliknya mengembara menjentik ego untuk turun dari makam yg tinggi bila melihat nilai insani yang masih tinggi di negara orang;

Mendengar kisah-kisah susur galur keturunan saya yang saya sendiri tak pernah tahu seumur hidup & kearifan anak muda mereka tentang keturunan sendiri, membuatkan saya tertunduk malu menjadi generasi yang longgar jati diri;

Melihat kelebihan beberapa sistem mereka (negara yang sering kita perlekehkan!), mengikis rasa 'perasan bagus' dalam diri & malu sendiri!;

Kebijaksanaan mereka dalam berbakti pada tanah & kehalusan kerja mereka, membuat saya merasa bagai pipi ini ditampar-tampar kerana suatu masa pernah memandang rendah pada mereka;

Melihat keindahan alamnya, menyemai rasa malu pada Allah yang mencipta kerana tidak mampu melakukan apapun bila negara sendiri lebih banyak yang botak dari yg hijau.

Kalau dulu saya skeptikal, sekarang selepas pulang dari kembara Indonesia kali ke-2 (Sumatera Barat, Jan 2014) saya sudah mula berbangga kerana di dalam tubuh saya ada mengalir darah negara itu.

Sejujurnya setiap kali pulang dari Indonesia, sungguh saya pasti merasa seperti sebahagian hati saya tertinggal di sana; negeri asal-usul keturunan saya.

Andainya ada rezeki, ingin sekali menjejak asal saya.

"Di sini kau berdiri
berpijak di bumi
menjunjung langit yang luas
Pernahkah kau berfikir
alam penuh rahsia
anugerah Yang Maha Esa

Berjalan,bermusafirlah
melihat kebesaran Tuhan 
yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir
dan bersyukur di atas nikmat
dan kurniaan-Nya
nilai harganya Iman dan Taqwa
bagi hamba yang setia

Tiada beza warna,kulit atau rupa
yang ada hanya insan yang lemah
dengan satu tujuan mencari keredhaan
dan berbudi di bumi Tuhan

Fikirkanlah..dimana arah kita
Renungilah..hikmah kembara
menuju kasih
buktikan cinta kita..
kepadaNya.." 

Ini hikmah kembara saya. Anda?